Lagi ucapan terima kasih

Petang itu santai-santai sahaja di atas perbaringan selepas pulang dari kuliah. Rajin lebih sedikit dari mahu, atau sepatutnya; belek kitab kuliah dan baca. Sebaliknya hasil karya Ramlee Awang Mursyid menjadi santapan mata. Sambung bacaan yang terbantut sebulan yang lepas (sebelum ke Kaherah). Bukan sengaja melayan rajin yang sedikit itu tapi merehatkan jasmani sebenarnya.

Tadi pulang dari kuliah, singgah sebentar di Aswaq Yasin, cari barang-barang keperluan. Juga makanan untuk si kecil kawan yang bertandang dan bermalam di rumah. Tapi yang diingini tiada di situ. Hampess. Nama ja ‘aswaq’. Kemudian singgah di kedai-kedai yang tak kurang deretnya di sepanjang laluan ke rumah sewa. Juga tiada. Balik rumah.

Dahaga. Terkesan dengan cuaca luar yang sedikit hangat. Ke dapur dinginkan jasad dengan air mati (air masak). Termenung. Hati masih belum puas. Tak dapat apa yang dihajati. Keluar semula dari rumah. Hala langkah ke Syari’ Madhrob. Puas bertanya di kedai-kedai yang ada di sekitar. Tapi masih hampa. Patah balik ke rumah. Sempat singgah kembali di kedai yang berdekatan. Terpaksa juga beli sedikit dari yang dihajati (‘syibih-syibih’ ja pun) walau ‘tak berkenan’. Lebih baik dari langsung tiada. Mmm, dahaga lagi. Tak tahu kenapa hari tu ‘saluran air’ cepat minta diisi. Mungkin cuaca yang dah tak dingin jadi asbabnya, berbanding hari-hari yang lepas. Tak berapa menentu.

Opsss, rasa macam dah melalut ja. Sebenarnya bukan nak cerita pasal beli barang-barang. Tapi di sini nak rakamkan ucapan terima kasih untuk ahli baitku ( Bait Fawwaz) selepas ucapan secara lisan sebelumnya. Pasal beli barang-barang tu sebagai penjelas sahaja. Kenapa masih jamah novel. Sedang imtihan kian mendekat. Berbalik kepada tujuan utama entri ini ditulis, begini alkisahnya...

Setelah mata hampir layu ‘mematai’ Hijab Sang Pencinta (karangan Ramlee Awang Mursyid) lekas-lekas kubangkit. Tak mahu biarkan lena singgah. Capai alat tulis dan kertas. Tumpahkan idea yang menerawang di ruang minda. Tengah khusyuk ‘conteng-conteng’, tiba-tiba tertangkap bunyi ‘kpuk’ (tak pandai nak tulis bunyi yang tepat) berkali-kali dari dapur. Tanpa fikir panjang terus kutebak. Pasti ada yang rajin buat kek. Bagus juga (senyum).

Berhenti menulis, sambil-sambil betulkan urat. Dapur kutuju. Rupanya ada yang sedang memasak. Si ‘mangsa’ usikan kami adik beradik di Fawwaz. Siapa lagi kalau bukan kak .........? Kemudian datang kak cik. Senyum-senyum.

“Ilah, jangan masuk bilik kak cik tau.” Sengihnya makin lebar. “Kenapa, akak tengah web cam ka?” Tanyaku.
“Dak aih. Adala . jangan masuk tau.” Dia mengulang larang. Hairan bertambah dibuatnya. Yalah…tak pernah-pernah dilarang masuk.
“Kenapa tak boleh pulak?” Tanyaku lagi. “Adala. Janganlah masuk.” Sekali lagi kak cik tegaskan. Dia cuba halang bila kuacah mahu ke biliknya. Nasib baik la bilik dia dengan dapur tak dekat (alhamdulillah rumah kami besar). Minda segera berfikir. Teringat kembali bunyi ‘kpuk’ yang didengari sebelumnya. Adakah bunyi itu berkaitan dengan apa yang kuteka? Dan kini berada di biliknya? Pantas kuterbayang sesuatu.

Tiba waktu makan malam. Laju ke dapur (perut dah berbunyi) Semua yang terhidang dah terbuka kecuali satu ja. Hatiku berat mengatakan itu adalah …. Yaaahh, betul tekaanku. . Sedap walau sedikit hangit di bawahnya. He he (bukan nak mengata – tapi suka yang hangit camtu). Aduhaiiiiiiiii. Terharunya...

‘Maaflah,takde apa-apa yang nak diberi. Kek ni ja. Lambat pulak tu”
“Ya Allah korang ni. Susah-susah ja. Dapat ucapan pun dah cukup. Ni yang makin sayang ni. He he”
“Maaflah, kek biasa-biasa ja”
“Apa yang biasanya. Ni dah kira ok tau. Sedap! Terima kasih semua. Tak tau nak kata pa dah. Terima kasih lagi dan lagi”

“Sat-sat. kita nak jadi orang pertama yang suapkan.”
“Eh, ……… dulu.”
“Mana aci. ……… nak jadi orang pertama jugak.”
“Ha. Nganga. ……… suapkan pulak.”

Alhamdulillah, rezeki Tuhan melalui ingatan teman-teman. Untuk kak cik, kak Hanim, long dan Shima, terima kasih banyak-banyak. Moga-moga keranaNya kasih kita bersemi dan diberkati. Amin ya Rabb.

Read More......

Mabruk untuk si bongsu

“Kak Dilah, result STPM kita okey. Insya Allah boleh masuk ‘U’.” Sms bernada gembira daripada si bongsu kuterima lewat beberapa minggu sebelum tiba ‘besday’. Pantas kuterbayang manis wajahnya yang pasti bertambah seri. Menari-nari di ruang pandang. Bercampur rindu yang belum terlerai.

Alhamdulillah, kepada yang berhak kupanjatkan syukur. Berkat pertolongan dan keizinanNya serta kesungguhan dan tekunnya si bongsu, kejayaan teraih sudah. Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Kuanggap khabar gembira tersebut hadiah untukku di hari lahir (ulangtahun) walaupun si bongsu bukan yang ‘tercemerlang’. Hadiah untuknya belumku hadirkan di ruang fikir. Detik itu hanya senyum – senang hati yang menghias reaksiku.

Jauh mengelamun. Tiba-tiba terkenang si kedua bongsu. Peperiksaan terakhirnya juga STPM. Namun kualiti antara keduanya (si bongsu – si kedua bongsu) ku tak cerat. Mungkin lebih rendah berbanding si bongsu. Kerana rezekinya untuk ke universiti belum ada. Tetapi tidaklah mencapai tahap yang kurang memuaskan. Seluruh ‘U’ awam telah diutus warkah lamaran. Namun hanya hampa yang diterima. Sebaliknya surat pinangan dari ‘U’ swasta hadir bagai tak putus. Pening rasanya. Kesemua pinangan itu diabaikan (dengan berat hati). Peluang yang tiba bukan sengaja ditolak tapi ringgit yang kurang – mengekang mahu.

Suatu petang ketika santai berdua dengan si kedua bongsu. “Setakat ni tiada lagi ‘U’ awam yang sudi terima aku. Yang ada hanya dari ‘U’ swasta.” Mendatar suaranya. Kami beraku – engkau sahaja kerana karib. Hanya dua tahun berbeza usia.

“Sebenarnya aku hairan. Kawan aku yang pointernya lebih rendah diterima masuk pulak. Mudah ja. Aku kenapa tidak?” Luahnya. Mujur tak bernada kecewa.
“Tak mengapalah, tahun depan cuba lagi. Insya Allah ada rezeki ke sana (u)” kucuba pujuk. Dia hanya mengiakan. Alhamdulillah, dia redha menerima.

Dalam enak berkongsi yang terbuku di hati, berubah cerah wajahnya. “Mujur juga aku tak dapat masuk ‘U’. Kalau tak, mesti pusing kepala mak dengan cek, kan?” Terpanggung kepalaku dengan cakapnya. “Mungkin Allah nak bagi peluang mengembara di lautan ilmu untuk kau dulu.” Ujarnya lagi, menambah bingungku. Bukankah mengembirakan keluarga jika kami panjangkan langkah ke menara gading sekaligus?

Fikir punya fikir, baruku faham maksudnya. Kebetulan di sekitar waktu yang sama, atau hampir, Allah izikanku ke Perlembahan nil. Benar katanya. Mak dan cek pasti dirundung resah. Dari mana mahu ‘nilai’ bagi sesuatu keperluan ingin dicari jika kami saling berlepas ke medan ilmu di sekitar waktu yang tak jauh? Dari simpanan? Oh, duit yang ada bukan berkepuk. Sekadar sahaja.

Akhirnya ke Kelantan si kedua bongsu mencuba nasib. Menumpah bakti demi mencari rezeki. Sambil-sambil menabung. Satu yang kupuji, walaupun telah memegang dan berasa duit sendiri, tetap tak luntur semangat dan citanya untuk mengaut ilmu. Malah kian berkobar. “Doakan rezekiku murah. Dapat sambung belajar lagi. Aku nak sambung sangat-sangat ni.” Inilah antara bualan yang sering diulang kepadaku di talian. Insya-Allah, sentiasa terlafaz untuk semua doa dariku.

Berbalik kepada si bongsu, sedikit pesan dari kakak (dari banyak-banyak pesan yang akanku perdengarkan. Tunggu!). Hiasai peribadi dengan sifat mahmudah. Persiapkan dirimu dengan ‘pendinding’ dalaman juga luaran. Akan kau hadapi kejutan budaya. Biar sehebat mana ujian dan cubaan yang bakal ditempuh, Tuhan jangan sesekali kau kalih dari ingatan. Iman yang senipis bawang – jangan biar mudah ditebak. Kehidupan di kampus yang tak dinafi rendah nilai sosialnya mudah-mudahan tidak menggegarkan ampuh watak muslimah idaman. Lebih-lebih lagi kau anak jati kampung. Nilai ‘pembungkus’ auratmu moga-moga tak tercalar. Digores aneka macam fesyen yang lari jauh dari landas syariat. Allahumma yaa muqollibalquluub, thabbit quluubana ‘ala diinika, wa yaa musorrifalquluub, sorrif quluubana ‘ala to’atika. Amiin ya Rabbal ‘alamin..

Read More......

Terima kasih untuk seseorang

Masih teringat kejutan sempena hari lahir yang lalu. Malam 24 Mac, waktu di dapur sibuk mengacau sos (untuk Warta Roll), kak cik (munirah) tiba-tiba datang. “Kak lah, nak kabo mende se ni.” Mukanya separa serius. “Hal apa pulak?” Mulanya buat acuh tak acuh ja (sapa suruh mai waktu kita sibuk memasak). “Cepatlah” Gesanya bila ku diam. “Cakap je lah. Saya dengar . Apa halnya?” Sekilas wajahnya kupandang. “Tapi benda ni persona.l” Tambahnya lagi sambil lenganku ditarik-tarik. “Penting sangat ke? Kan tengah masak ni.” Protesku sedikit rimas. “Ya, penting ni. Ala, cepatlah.” Dia medesak dalam mengiakan. Dalam bingung dan tertanya-tanya, api dapur kuperlahankan. Takut hangit.

Kak cik bawaku ke bilik Leha di 301. Setentang dengan bilik 303 (rumah yang biasa kutumpang). “Surprise!!” Separa menjerit (penuh sopan) insan-insan yang ada di situ. Sek
etika tergaman. Lebih-lebih lagi bila korneaku menjamah pandang kek yang elok terhidang di atas meja. Mula-mula tu hairan juga. Tapi bila terbaca kalimah ‘sanah helwah’, barulah faham. Dan automatik dapat tahu dari tangan siapa terhasilnya kek itu. Terus kupandang Leha yang duduk setentang. Masa tu tak tahu nak kata apa. Terharu sangat! Spontan kupeluk teman tadi. Terharu wei… Tak sangka gurauanku untuk menikmati keknya menjadi kenyataan. Patutlah petang sebelumnya dia beria-ria halangku dari masuk ke dapur rumahnya. Sungguh, beria-ria! Last2 pintu dapur dia tutup bila kupura-pura tetap nak masuk. Tapi masa tu hidung sempat menangkap aroma kek yang menari-nari di ruang udara. Untuk itu terima kasih buat Leha (khusus) dan tak terkecuali Aisyah, Wani.

Kek itu walaupun tak habis dimakan oleh semua yang ada tapi seronak la jugak sebab kongsi rasa ramai-ramai. Sedap . Tahniah Leha. Kekmu tak pernah kuncup (setakat yang dilihat-tapi tak tau la kot-kot sebelum ni banyak ja yang tak berapa kembang. He he). Lepas ni kalau ada rezeki, kita penuhkan selera dengan nasi kunyit pulak. Insya Allah moga rezeki dimurahkan. Penuhkan , dimaksudkan di sini; jamu selera. Makan-makan. Bukan bermaksud memenuhkan ‘peti makanan’ sesendatnya.
Oh ya. Sebelum terlupa maaf kupohon Kerana buatkan kalian tertunggu –tunggu kek itu kupotong pada malam tersebut. Bukan sengaja tapi ada ja benda yang nak kena buat masa tu bila kek itu hampir menjadi ‘mangsa’. Dengan sos atas dapur lagi. Dengan itu ini. Tu yang kelam kabut skit tu. Mohon maaf semua ya. Apapun kek mentega yang lembut dan empuk serta sedap dimakan itu tetap kuingat. Lepas ni buat lagi deh?.. (senyum lebar-mengharap).


Terima kasih sekali lagi kerana telah meluangkan masa dan menyusahkan diri kalian untuk kek yang telah dihasilkan. Jazakumullah. Insya Allah tanda ingatan itu takkanku lupa. Doaku moga Tuhan rahmati anda semua. Doakan juga untukku. Moga terhias ungkapan al-mar atu alsolihah di cermin kehidupanku. Insya Allah, amin ya Rabb.


Read More......

Hari-hari selepas 12 Rabiul Awal

Menapak ke cyber café KPT. Ambil peluang layari internet., setelah terisi masa sebelumnya dengan memanaskan separuh dari juzuk terakhir (muqarrar tahun empat). Sambil-sambil peristiwa tanah air dan antarabangsa kuintai, beberapa blog azhari-azhariah kujengah. Baris demi baris diteliti, cuba mengerti isi hati penulis. Lawak - dakwah - pengajaran - mau’izah - derita Palestin dan lain-lain coretan mewarnai blog. Mengikut selera empunya.

Dalam ghairah berkunjung, sayu tiba-tiba mengusik hati. Tidak sedikit yang membicarakan perihal khairul basyar , saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam sempena bulan kelahiran Baginda. Bermacam cerita yang dinukilkan. Hampir kesemuanya terarah kepada kecintaan terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam. Hanya terbeza jalan cerita.

Termenung seketika. Cuba analisa kalimah cinta (ku) buat Baginda yang terlafaz di hujung lidah. Ringan ditutur. Setakat mana sunnahnya yang kuturut, bukti kasih ada di hati.

Ya Rabb, langsung tak terbias pengakuanku di tiap arah. Baik pada tutur juga tingkah. Sunnahnya masih banyak yang tak terbuat, apatah lagi untuk menyalin walau seperca dari peribadi Baginda sallallahu alaihi wasallam. Terpenuh hari-hari yang berlalu dengan catatan kehidupan yang banyak alpa dari jaga.

Dalam satu ayat dari al-Quran, Allah ada menyebut bahawa Dia dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Nabi. Nah, pencipta kita yang Maha Agung berselawat sentiasa. Begitu juga dengan para malaikat yang sememangnya tiada dosa. Diri ini yang serba kekurangan lagi kelam dengan noda terbuat selalu pun tidak. Ilahi ya Rabb, sungguh, umat apakah diri ini?

Menutur selawat tidak payah. Tenaga pun tak tergugah. Tapi sering diri ini terlupa memancarkan tanda ingat dan kasih terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam. Padahal melafazkannya tidak membelit lidah. Bicara seharian rasanya tidak banyak yang bernas. Hanya tika jumaat mengambil giliran, barulah ingatan bagai diterjah. Penghulu kepada segala hari ini sedikit sebanyak mengingat dan menyedarkan ingatan yang tandus ini. Lalu selawat pun ditutur. Lantun dari bibir, ulang dan perbanyakkan.

Fikir lagi. Mujur juga terangkum ucap selawat dalam ibadah lima waktu. Tidak sah tanpanya. Maknanya wajib disebut. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tak khali langsung sang bibir meluahkannya. Begini jika 'lampu hijau'. Di ‘waktu terlarang’ bagaimana? Terkurang dari menyebut sudah pastinya.

Oh, malu sungguh pada alam dan yang terhuni di atasnya. Binatang di darat, di laut malah di dalam tanah yang tidak berakal pun tidak kering ingatan mereka dalam melagukan alunan tasbih buat sang Pencipta. Juga ucap kasih untuk Rasul tercinta. Selawat - selawat - selawat.

Namun kadang-kadang bukan sengaja menyisih ingatan buat junjungan. Sungguh! Apatah lagi ganjaran yang akan dikurnia sangat didamba. Antaranya diperkenankan syafaat di hari pembalasan kelak. Bila disebut teman baru teringat. Rasa bersalah menyerbu. Pantas. Lalu tekad kupasang lagi. Entah yang ke berapa. Ingin melagukan selawat tiap saat. Sebelum lena dan setelah jaga. Dan hari-hari yang dilalui akan tenggelam dalam asyik mahsyuk berselawat.

Read More......

Ulangtahun kelahiran kali ini

Berganjak lagi usiaku lewat 22 Mac 2009 yang lepas. Pelbagai rasa bertamu. Gembira, syukur, sedih dan bermacam lagi. Bercampur gaul di acuan rasa.

GEMBIRA. Kerana teman-teman di sekeliling tidak pernah lupa mengirim ucap selamat. Di malam @ hari ulangtahun kelahiranku. Ada juga yang datang berjumpa secara mubasyarah. Teringat tarikh yang sama waktu ‘muda-muda dulu’ ( la ni pun masih muda lagi ). Jika ahli bait tidur lewat di malam 22 hb Mac, mereka dengan ‘tidak berhati perut’ akan bergegas mendekati kamarku. Diusirnya lena yang mendakap sekujur jasadku., semata-mata untuk mengucapkan “Selamat hari lahir….…”. Yang kelakar dan terharu, mereka kadang-kadang saling berlumba. Masing-masing ingin mendahului yang lain. Ingin menjadi orang pertama berjabat tangan . Kadang-kadang ada yang bersimpuh di birai tilam, bila jarum jam hampir menjamah angka 12 malam. Oh ya, jangan tersalah faham. Gembiraku bukan semata kerana begitu diperlaku. Tapi ( lebih lagi ) kerana punya teman yang baik hati, mengerti, sering berkongsi senang dan bermacam lagi.

Di saat terganggu kesihatan, ada yang bergegas dengan dawa’. Dari farmasi ataupun penawar saranan sunnah ( madu ) juga kalam Ilahi ( untuk diamalkan ). Tak kurang ada yang berkongsi petua. Tentunya yang tradisional.

Kala emosi kacau bilau- memberat dengan musykilah yang bertimpa, ada yang menyabar dan menenangkan.

Waktu bank kering (sebab malu nak beritahu mak + tak sampai hati ) ada yang marah-marah bila dapat tahu ( padahal sedayanya kusorokkan-macamana boleh tahu? ). Katanya mengapa tak cakap, bukan dia tak boleh tolong. Apa guna dirinya sebagai kawan? Sampai hati buat dia seolah tiada berdekatan. ( maaf, kemarau ini masih dapat kutahan dan biarlah berseorangan berasa ).

Alhamdulillah, teramat syukur. Masih ramai yang sudi menumpahkan prihatin, walhal diri ini mungkin banyak menyakitkan hati, mengguriskan perasaan. Dalam sedar atau sebaliknya. Namun tidak kunafi, dalam ramai yang baik hati, ada ‘seketul dua’ yang lain feelnya. Maksudnya? Rasanya semua faham. Bukankah ada lawan bagi setiap sesuatu?

Yang baik lawannya tentulah tidak. Bukan tidak baik secara qot’ie, cuma mungkin sedikit ‘nakal’. Bila bergelut payah dan berkehendak sesuatu, dirikulah segalanya. Bila senang menyapa, diriku dilupa. Maaf, bukan nak mengata, jauh sekali untuk mengenang salah orang ( mungkin depa tak sedar-cuba husnu al-zhon ) dan mengusir ingatan terhadap kebaikan yang diterima. Tapi inilah realitinya. Namun tak kusimpan pahit rasa yang terbit dari tingkah teman tersebut. Laa yanfa’ untuk dikenang. Pun begitu, Alhamdulillah juga. Sekurang-kurangnya kukenal mana yang benar-benar memaknakan kalimah ukhuwah fillah.

SYUKUR. Kerana usia masih Allah panjangkan. Masih berpeluang mengecap ni’mat-nimatNya yang tak terhitung. Ni’mat Iman dan Islam terutamanya.

Usia yang Allah lanjutkan adalah peluang untuk menambah amal kebaikan dan perbaiki segala yang terkurang. Bertaubat atas segala dosa yang bertimbun dan mencemarkan rohani. Yang menghitamkan sekeping hati.

Alhamdulillah, Tuhan masih lorongkan waktu untukku muhasabah segala tutur dan tingkah yang telah terakam di laluan hayat. Menilai kembali kelayakan diri untuk digelar hambaNya.

Detik-detik yang sedang dan akan datang mudah-mudahan memberi peluang untukku tebus segala salah dan silap terhadap kedua ibu bapa. Juga meluaskan ruang untukku mencurah hanya yang baik-baik sahaja untuk mereka berdua yang teramat kukasih. Hanya mereka. Tiada galang ganti. Oh Tuhan, sungguh tak sabar kumenunggu saat berangkat pulang ke tanah air.

SEDIH. Bila dihitung amal yang tak seberapa jika dibandingkan usia. Apa yang telah kuperbuat saban hari dalam tempoh masa yang telah jauh dan baru ditinggalkan? Usia jika dicongak, patutnya sudah miliki kuantiti ibadah yang memberat di timbangan amal. Kualiti lebih-lebih lagi. Hadam segala hukum hakam. Namun masih ‘kabur’ diri ini dengan banyak perkara yang sepatut dan sewajibnya kutahu. Selaku dai’e. Lebih-lebih lagi ‘ngaji’ di al-Azhar.

Segala macam rasa yang kutelan itu akan cubaku kekali separuhnya. Dan cuba ubahi yang selebihnya ( sedih ). Rasa sedih itu sedayanya akanku terbalikkan. Biar jadi sebaliknya. Oh, bukanku bermaksud boleh dan akan berbangga dengan amal yang ditunaikan. Sebab tidak patut dan amat tidak patut bagi seorang hamba mudah berasa puas dengan amal yang dibuat. Walaupun bertimbun. Cuma ingin menerbalikkan rasa sedih itu dengan perbanyakkan lagi ibadah sunat dan mengekali kesempurnaan mana yang wajib. Malah kualitinya cuba ditingkatkan.

Tiba-tiba ‘kuteringat’ kata-kata Ibnu Mas’ud . “Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah tetapi amalanku tidak. Oh, insaf .

Ya Ghafur ya Rahim. Ampuni salahku dan rahmati hidupku. Tuntuni daku ke jalanMu yang lurus. Amin ya Rabb.


Read More......