Mabruk untuk si bongsu

“Kak Dilah, result STPM kita okey. Insya Allah boleh masuk ‘U’.” Sms bernada gembira daripada si bongsu kuterima lewat beberapa minggu sebelum tiba ‘besday’. Pantas kuterbayang manis wajahnya yang pasti bertambah seri. Menari-nari di ruang pandang. Bercampur rindu yang belum terlerai.

Alhamdulillah, kepada yang berhak kupanjatkan syukur. Berkat pertolongan dan keizinanNya serta kesungguhan dan tekunnya si bongsu, kejayaan teraih sudah. Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Kuanggap khabar gembira tersebut hadiah untukku di hari lahir (ulangtahun) walaupun si bongsu bukan yang ‘tercemerlang’. Hadiah untuknya belumku hadirkan di ruang fikir. Detik itu hanya senyum – senang hati yang menghias reaksiku.

Jauh mengelamun. Tiba-tiba terkenang si kedua bongsu. Peperiksaan terakhirnya juga STPM. Namun kualiti antara keduanya (si bongsu – si kedua bongsu) ku tak cerat. Mungkin lebih rendah berbanding si bongsu. Kerana rezekinya untuk ke universiti belum ada. Tetapi tidaklah mencapai tahap yang kurang memuaskan. Seluruh ‘U’ awam telah diutus warkah lamaran. Namun hanya hampa yang diterima. Sebaliknya surat pinangan dari ‘U’ swasta hadir bagai tak putus. Pening rasanya. Kesemua pinangan itu diabaikan (dengan berat hati). Peluang yang tiba bukan sengaja ditolak tapi ringgit yang kurang – mengekang mahu.

Suatu petang ketika santai berdua dengan si kedua bongsu. “Setakat ni tiada lagi ‘U’ awam yang sudi terima aku. Yang ada hanya dari ‘U’ swasta.” Mendatar suaranya. Kami beraku – engkau sahaja kerana karib. Hanya dua tahun berbeza usia.

“Sebenarnya aku hairan. Kawan aku yang pointernya lebih rendah diterima masuk pulak. Mudah ja. Aku kenapa tidak?” Luahnya. Mujur tak bernada kecewa.
“Tak mengapalah, tahun depan cuba lagi. Insya Allah ada rezeki ke sana (u)” kucuba pujuk. Dia hanya mengiakan. Alhamdulillah, dia redha menerima.

Dalam enak berkongsi yang terbuku di hati, berubah cerah wajahnya. “Mujur juga aku tak dapat masuk ‘U’. Kalau tak, mesti pusing kepala mak dengan cek, kan?” Terpanggung kepalaku dengan cakapnya. “Mungkin Allah nak bagi peluang mengembara di lautan ilmu untuk kau dulu.” Ujarnya lagi, menambah bingungku. Bukankah mengembirakan keluarga jika kami panjangkan langkah ke menara gading sekaligus?

Fikir punya fikir, baruku faham maksudnya. Kebetulan di sekitar waktu yang sama, atau hampir, Allah izikanku ke Perlembahan nil. Benar katanya. Mak dan cek pasti dirundung resah. Dari mana mahu ‘nilai’ bagi sesuatu keperluan ingin dicari jika kami saling berlepas ke medan ilmu di sekitar waktu yang tak jauh? Dari simpanan? Oh, duit yang ada bukan berkepuk. Sekadar sahaja.

Akhirnya ke Kelantan si kedua bongsu mencuba nasib. Menumpah bakti demi mencari rezeki. Sambil-sambil menabung. Satu yang kupuji, walaupun telah memegang dan berasa duit sendiri, tetap tak luntur semangat dan citanya untuk mengaut ilmu. Malah kian berkobar. “Doakan rezekiku murah. Dapat sambung belajar lagi. Aku nak sambung sangat-sangat ni.” Inilah antara bualan yang sering diulang kepadaku di talian. Insya-Allah, sentiasa terlafaz untuk semua doa dariku.

Berbalik kepada si bongsu, sedikit pesan dari kakak (dari banyak-banyak pesan yang akanku perdengarkan. Tunggu!). Hiasai peribadi dengan sifat mahmudah. Persiapkan dirimu dengan ‘pendinding’ dalaman juga luaran. Akan kau hadapi kejutan budaya. Biar sehebat mana ujian dan cubaan yang bakal ditempuh, Tuhan jangan sesekali kau kalih dari ingatan. Iman yang senipis bawang – jangan biar mudah ditebak. Kehidupan di kampus yang tak dinafi rendah nilai sosialnya mudah-mudahan tidak menggegarkan ampuh watak muslimah idaman. Lebih-lebih lagi kau anak jati kampung. Nilai ‘pembungkus’ auratmu moga-moga tak tercalar. Digores aneka macam fesyen yang lari jauh dari landas syariat. Allahumma yaa muqollibalquluub, thabbit quluubana ‘ala diinika, wa yaa musorrifalquluub, sorrif quluubana ‘ala to’atika. Amiin ya Rabbal ‘alamin..

0 comments:

Post a Comment