Sesudah Imtihan

Lama benar tidak update laman ini. Asalnya ingin ‘berehat’ hanya sebentar sahaja untuk memberi laluan kepada imtihan. Lebih-lebih lagi tahun ini masih di ‘tingkat’ yang sama. Tentunya perlu berganda usaha.

Alhamdulillah. Imtihan berakhir selepas tiba madah terakhir dan setelah puas berulit dengan kitab-kitab kuliah. Rasa lega (secara zahir). Tak perlu bersengkang mata lagi dan tak perlu menahan ‘rasa’ menghabiskan muqarrar (oh, sungguh tak wajar aku berkata sebegini. Dahla lumati kitab kuliah benar-benar mengikut muqarrar – tak patut dan memang tak patut

Memasang niat sudah sebenarya untuk menyambung kata di laman ini sesudah imtihan. Seboleh yang mungkin. Dan semestinya telah ada rangkanya. Tapi semangat untuk mencoret sedikit pudar. Entah mengapa.

Tapi kadang-kadang semangat datang. Tiba-tiba. Tapi ilham yang sudah menerawang di minda bercempera bila ingin diterjemahkan di ruang maya. Aduh, situasi ini amat membebankan rasa. Sudah cuba melamar ilham yang seterusnya tapi hasilnya masih kabur. Benar-benar buntu. Adakah aku telah futur? Atau terlalu mengikut kata hati yang sering kacau bilau? Atau lemas menahan rasa (masalah peribadi) yang bergelodak di pangkal jiwa? Ah, abaikan. Ubatnya adalah zikrullah. Alhamdulillah mujarab

Berbalik kepada imtihan yang telah usai

Rasa lega seperti yang telah disebut, dari sudut zahir sahaja bila imtihan berlalu. Namun hakikatnya adalah tidak. Rasa takut dan debar sering bermaharajalela dalam diri. Menanti saat yang menetukan hala tuju seterusnya. Sudah tentu natijah. Najahkah? Atau rasibkah? Degup jantung bertambah laju tatkala mengenang kertas jawapan yang banyak ‘bersih’ berbanding yang sepatutnya.

Teringat ketika al-Quran (yang telah dikurangkan sukatannya) diulang hafal. Awalnya juzuk keempat dan ketiga ditekan. Tapi tak lama. ‘Selera’ kemudian beralih kepada juzuk kedua dan pertama. Kedua juzuk yang terawal ini ditekankan tidak seperti lazimnya. Maksudnya pada tahun yang sudah, memberatkan juzuk akhir ( dari juzuk empat hingga juzuk lapan) tapi kali ini angin beralih arah. Tekan punya tekan yang terawal, sedikit ‘terabai’ yang akhir. Tup-tup bila diedar kertas soalan, terdiam seribu bahasa dalam beberapa detik. Manakan tidak, satu soalan diambil dari juzuk tiga. Tiga soalan lagi dari juzuk empat. Maqra’ akhir pulak tu. Berpinar jugak! Berserah ja lah…

Dengar kata control dah keluar. Cuba call teman serumah. Tapi dia belum berkesempatan ke kuliah. Sibuk dengan urusan nak balik agaknya. Dalam keadaan yang ‘genting’ ini ada dua rasa takut. Kalau berjaya takut, dan kalau sebaliknya pun takut.

Bila berjaya, sudah tentu Malaysia harus didiami kembali. Kepulangan warga azhari adalah yang paling ditunggu masyarakat. Bukan kerana hagah duniawi (tapi tak nafi) namun lebih kepada hagah ukhrawi. Ini yang amat ‘menakutkan’ lantaran masih bertimbun kekurangan diri. Hukum hakam masih belum hadam. Lantas mahu dijamu apa mereka? Pun begitu selaku perubah masyarakat harus malah wajib dilunaskan. Mahu atau tidak.

Kalau keputusan adalah sebaliknya, juga menakutkan. Takut kalau-kalau menambah gundah orang tua. Mengganda risau mereka. Walaupun mungkin pada zahirnya mereka biasa. Jawapan apa mahu diberi pada jiran tetangga yang sudah pastinya geger bertanya. Kenapa anak masih belum pulang. Sedangkan orang lain hanya sekejap cuma.

Doa tak putus agar kejayaan Allah kurniakan. Amin ya Rabb.

• Banyak program anjuran PMRAM dan BKAN serta DPM yang menanti sesudah imtihan, termasuk tafaqquh. Harus sertai. Banyak manfaat yang akan diperoleh.

0 comments:

Post a Comment