Fatrah Imtihan II

Ingin berkisah perihal imtihan lagi. Berkaitan dengan ibadah. Sekitar waktu ini sekali pandang, ada yang boleh di ‘tabek’ (termasuk yang menulis ni kot – teruknya aku). Bukan setakat sedaya upaya menjaga tautan hati sesama teman malah ibadah turut dilakasana sesempurna mungkin (sebelumnya bukan tidak sempurna cuma kurang – maksudnya tunai yang wajib tanpa yang sunat secara tetap)

Ibadah diganda tanpa paksa dan penuh rajin. Yang wajib bukan setakat dijaga malah ditunai tanpa tercicir sunat rawatib. Sama ada yang muakkad atau sebaliknya. Sepertiga malam tak dibiar lepas lalu tanpa bertahajjud. Malah berat untuk menunaikan langsung tak terasa.

Alhamdulillah. Kita diberi kekuatan untuk melangsaikan tuntutan-Nya dan ringan untuk melaksanakan segala kebaikan. Tapi semua ‘keringanan’ tadi sedikit sirna usai imtihan. Keadaan yang tidak sepatutnya berlaku ini amat menyedihkan. Padahal bukan tak tahu bahawa Allah suka amalan yang berterusan walaupun sedikit. Tapi mungkin masing-masing dihambat tugasan yang menyempitkan waktu sesudah imtihan (cuba husnu zhon)

Pengabdian kepadaNya di musim ini boleh diibarat ‘ ibadah bermusim’. Mungkin ramai yang tidak setuju malah ‘panas’ bila kenyataan sebegini dinukilkan. Namun itulah apa yang dilihat dan dikaji secara tidak rambang. Saya tidak tujukan secara khusus kepada mana-mana pihak. Kerana diri sendiri ‘terasa’. Sungguh, secara jujurnya terasa amat-amat ringan untuk mencantikkan yang wajib dengan ibadah sunat secara penuh. Tetap.

Teringat feel segelintir teman-teman, juga sewaktu di alam persekolahan (menengah). Mampir sahaja musim peperiksaan, tak pernah berenggang dalam tempoh yang lama dengan kitab. Makan pun tangkap muat. Masa banyak dihabiskan di dalam kelas dengan study. Mereka juga terus bersegera menghadap-Nya bila azan selesai tanpa berjamaah di musolla. Kononya untuk menjimatkan masa. Ya, memang jimat dari segi masa. Tidak perlu menunggu ma’mum memenuhi ruang musolla dan tidak perlu menunggu imamah. Tapi sebenarnya mereka alami kerugian. Rugi kerana inilah masa yang terbaik untuk meminta-minta dengan-Nya. Rugi juga kerana inilah peluang untuk melupus dosa sesama teman di sebalik jemari yang bertautan.

Hal ini boleh diperbaiki kerana sesuatu tidak akan terasa berat untuk dikerjakan jika ikhlas yang menjadi pengikat.

0 comments:

Post a Comment