Menyadur Insaf Di Hujung Kilau Pena.

Sesudah Imtihan

Lama benar tidak update laman ini. Asalnya ingin ‘berehat’ hanya sebentar sahaja untuk memberi laluan kepada imtihan. Lebih-lebih lagi tahun ini masih di ‘tingkat’ yang sama. Tentunya perlu berganda usaha.

Alhamdulillah. Imtihan berakhir selepas tiba madah terakhir dan setelah puas berulit dengan kitab-kitab kuliah. Rasa lega (secara zahir). Tak perlu bersengkang mata lagi dan tak perlu menahan ‘rasa’ menghabiskan muqarrar (oh, sungguh tak wajar aku berkata sebegini. Dahla lumati kitab kuliah benar-benar mengikut muqarrar – tak patut dan memang tak patut

Memasang niat sudah sebenarya untuk menyambung kata di laman ini sesudah imtihan. Seboleh yang mungkin. Dan semestinya telah ada rangkanya. Tapi semangat untuk mencoret sedikit pudar. Entah mengapa.

Tapi kadang-kadang semangat datang. Tiba-tiba. Tapi ilham yang sudah menerawang di minda bercempera bila ingin diterjemahkan di ruang maya. Aduh, situasi ini amat membebankan rasa. Sudah cuba melamar ilham yang seterusnya tapi hasilnya masih kabur. Benar-benar buntu. Adakah aku telah futur? Atau terlalu mengikut kata hati yang sering kacau bilau? Atau lemas menahan rasa (masalah peribadi) yang bergelodak di pangkal jiwa? Ah, abaikan. Ubatnya adalah zikrullah. Alhamdulillah mujarab

Berbalik kepada imtihan yang telah usai

Rasa lega seperti yang telah disebut, dari sudut zahir sahaja bila imtihan berlalu. Namun hakikatnya adalah tidak. Rasa takut dan debar sering bermaharajalela dalam diri. Menanti saat yang menetukan hala tuju seterusnya. Sudah tentu natijah. Najahkah? Atau rasibkah? Degup jantung bertambah laju tatkala mengenang kertas jawapan yang banyak ‘bersih’ berbanding yang sepatutnya.

Teringat ketika al-Quran (yang telah dikurangkan sukatannya) diulang hafal. Awalnya juzuk keempat dan ketiga ditekan. Tapi tak lama. ‘Selera’ kemudian beralih kepada juzuk kedua dan pertama. Kedua juzuk yang terawal ini ditekankan tidak seperti lazimnya. Maksudnya pada tahun yang sudah, memberatkan juzuk akhir ( dari juzuk empat hingga juzuk lapan) tapi kali ini angin beralih arah. Tekan punya tekan yang terawal, sedikit ‘terabai’ yang akhir. Tup-tup bila diedar kertas soalan, terdiam seribu bahasa dalam beberapa detik. Manakan tidak, satu soalan diambil dari juzuk tiga. Tiga soalan lagi dari juzuk empat. Maqra’ akhir pulak tu. Berpinar jugak! Berserah ja lah…

Dengar kata control dah keluar. Cuba call teman serumah. Tapi dia belum berkesempatan ke kuliah. Sibuk dengan urusan nak balik agaknya. Dalam keadaan yang ‘genting’ ini ada dua rasa takut. Kalau berjaya takut, dan kalau sebaliknya pun takut.

Bila berjaya, sudah tentu Malaysia harus didiami kembali. Kepulangan warga azhari adalah yang paling ditunggu masyarakat. Bukan kerana hagah duniawi (tapi tak nafi) namun lebih kepada hagah ukhrawi. Ini yang amat ‘menakutkan’ lantaran masih bertimbun kekurangan diri. Hukum hakam masih belum hadam. Lantas mahu dijamu apa mereka? Pun begitu selaku perubah masyarakat harus malah wajib dilunaskan. Mahu atau tidak.

Kalau keputusan adalah sebaliknya, juga menakutkan. Takut kalau-kalau menambah gundah orang tua. Mengganda risau mereka. Walaupun mungkin pada zahirnya mereka biasa. Jawapan apa mahu diberi pada jiran tetangga yang sudah pastinya geger bertanya. Kenapa anak masih belum pulang. Sedangkan orang lain hanya sekejap cuma.

Doa tak putus agar kejayaan Allah kurniakan. Amin ya Rabb.

• Banyak program anjuran PMRAM dan BKAN serta DPM yang menanti sesudah imtihan, termasuk tafaqquh. Harus sertai. Banyak manfaat yang akan diperoleh.

Read More......

Imtihan Dalam Imtihan

Benar kata sesetengah orang. Mesir penuh dengan segala macam ujian. Terkadang ada yang melunturkan hamasah untuk terus bermukim dalam beberapa tempoh, sepanjang pengajian. Namun dapat bertahan berkat doa yang dipohon, selain mengenang manisnya hasil di sebalik kepayahan.

Ada yang mentafsirkan perkataan Mesir (dalam bahasa arab) sebegini ; mim: musibah @ mehnah. Sod: sabar. Ro: redha. Tanpa penerangan yang panjang kita pasti akan mengiakan. Jika sudah ke sini.

Paling menjerut rasa, di musim peperiksaan. Ujian di musim ini pelbagai. Kesihatan terjejas tiba-tiba antaranya. Namun jamu sahaja tubuh dengan ubatan, insya Allah sembuh dengan izin-Nya. Ini ujian yang memerlukan ubatan ciptaan manusia. Yang paling dirisaukan, adalah ‘kesihatan’ rohani. Ia berpunca daripada gangguan makhluk yang tidak zahir di pandangan. Bertahap gangguannya (mengikut orang). Ada yang biasa; boleh dilawan oleh pesakit. Ada yang lebih dari biasa; warasnya sirna. Ada yang langsung tidak sedarkan diri berjam-jam. Ada yang 50-50. Namun yang paling membimbangkan adalah yang berkaitan dengan akidah. Diganggu gugat. Makhluk terlaknat itu kadang-kadang membisikkan keraguan terhadap agama islam ke dalam hati yang berkenaan dan bermacam lagi.

Kadang-kadang jemu berfikir. Kenapa hebat terjadi di musim ini berbanding hari-hari sebelum atau selepasnya. Mungkin kerana stress, terlalu lemah semangat dan lain-lain.

Baru-baru ini ketika menemani kawan ‘dipulihkan’ seorang ustaz, baru terungkai segala persoalan yang bermain di fikiran. Rupa-rupanya puak kristian sengaja melepaskan FRU mereka untuk ‘menyakat emosi’ akidah orang islam. Dan sasaran utamanya adalah pelajar universiti al-Azhar, lebih-lebih lagi sewaktu bergelut dengan isti’dad untuk bertempur di medan penentu masa depan. Peperiksaan.

Namun tidak dinafikan. Penyebabnya kadang-kadang tercetus dari tingkah seharian umat islam itu sendiri. Lalai dari mengingatiNya dengan maksiat yang sukar dihindar. Persekitaran tempat tinggal yang kurang bersih. Al-Quran yang yang jarang dilagu, difahami dan dihayati. Pun begitu, ada juga yang baik pekertinya turut diganggu (bukan semua yang diganggu berakhlak kurang baik). Apa pun, semuanya ujian. Ada hikmahnya.

Air mata bergenang tiba-tiba ketika menulis entri ini. Berperihal gangguan, ingatan disapa rindu dan pilu pada seseorang. ‘Terkena’ selepas pulang dari jaulah ke sinai, (mereka telah ke satu tempat yang tidak pernah dibawa? Dibenarkan? oleh pihak PMRAM) anjuran JPMK, bercampur tekanan (akibat masalah peribadi) yang tidak tertahan, warasnya menghilang. Segala-galanya perlu diuruskan.

Gangguan dalamannya, alhamdulillah, berjaya dibantutkan berkat ayat-ayat suci yang dibacakan. Namun tetap menyedihkan kerana ‘sedarnya’ tak dapat dipulihkan pada waktu itu. Jalan terakhir terpaksa dihantar pulang. Bukan tidak sudi berkorban masa untuk berjaga sampai dinihari kerananya. Tapi itu yang terbaik kerana masing-masing punya tanggung jawab yang perlu dilunaskan. Lagi pula imtihan hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi. Berita terakhir mengenainya, terpaksa beradu di hospital yang merawat ‘masalah jiwa’. Wallahu Ta’ala a’la wa a’lam.

Read More......

Fatrah Imtihan II

Ingin berkisah perihal imtihan lagi. Berkaitan dengan ibadah. Sekitar waktu ini sekali pandang, ada yang boleh di ‘tabek’ (termasuk yang menulis ni kot – teruknya aku). Bukan setakat sedaya upaya menjaga tautan hati sesama teman malah ibadah turut dilakasana sesempurna mungkin (sebelumnya bukan tidak sempurna cuma kurang – maksudnya tunai yang wajib tanpa yang sunat secara tetap)

Ibadah diganda tanpa paksa dan penuh rajin. Yang wajib bukan setakat dijaga malah ditunai tanpa tercicir sunat rawatib. Sama ada yang muakkad atau sebaliknya. Sepertiga malam tak dibiar lepas lalu tanpa bertahajjud. Malah berat untuk menunaikan langsung tak terasa.

Alhamdulillah. Kita diberi kekuatan untuk melangsaikan tuntutan-Nya dan ringan untuk melaksanakan segala kebaikan. Tapi semua ‘keringanan’ tadi sedikit sirna usai imtihan. Keadaan yang tidak sepatutnya berlaku ini amat menyedihkan. Padahal bukan tak tahu bahawa Allah suka amalan yang berterusan walaupun sedikit. Tapi mungkin masing-masing dihambat tugasan yang menyempitkan waktu sesudah imtihan (cuba husnu zhon)

Pengabdian kepadaNya di musim ini boleh diibarat ‘ ibadah bermusim’. Mungkin ramai yang tidak setuju malah ‘panas’ bila kenyataan sebegini dinukilkan. Namun itulah apa yang dilihat dan dikaji secara tidak rambang. Saya tidak tujukan secara khusus kepada mana-mana pihak. Kerana diri sendiri ‘terasa’. Sungguh, secara jujurnya terasa amat-amat ringan untuk mencantikkan yang wajib dengan ibadah sunat secara penuh. Tetap.

Teringat feel segelintir teman-teman, juga sewaktu di alam persekolahan (menengah). Mampir sahaja musim peperiksaan, tak pernah berenggang dalam tempoh yang lama dengan kitab. Makan pun tangkap muat. Masa banyak dihabiskan di dalam kelas dengan study. Mereka juga terus bersegera menghadap-Nya bila azan selesai tanpa berjamaah di musolla. Kononya untuk menjimatkan masa. Ya, memang jimat dari segi masa. Tidak perlu menunggu ma’mum memenuhi ruang musolla dan tidak perlu menunggu imamah. Tapi sebenarnya mereka alami kerugian. Rugi kerana inilah masa yang terbaik untuk meminta-minta dengan-Nya. Rugi juga kerana inilah peluang untuk melupus dosa sesama teman di sebalik jemari yang bertautan.

Hal ini boleh diperbaiki kerana sesuatu tidak akan terasa berat untuk dikerjakan jika ikhlas yang menjadi pengikat.

Read More......

Fatrah Imtihan I

Selagi mana menyandang gelaran pelajar, imtihan tidak dapat tidak perlu ditempuh. Mahu atau tidak. Suka atau sebaliknya. Medan ini yang mengukur mutu pengajian terkadang dirasa membebankan bagi sesetengah orang. Masakan tidak, masa perlu ditumpu sepenuhnya pada pelajaran. Perlu ulang baca dan fahami sebelum menghafal. Begini dirasa bila kitab hanya tergesa ditekuni tatkala sisa waktu yang berbaki begitu menghimpit. Namun jangan salah faham, keadaan ini hanya dialami oleh mereka yang suka menangguh ulangkaji. Selain tiada kemahuan yang kuat dalam mencarigali ilmu-Nya.

Teringat omelan seorang dua teman sewaktu di alam persekolahan “Kan best kalau tiada peperiksaan. Belajar semata ja. Tak perlu susah-susah menghafal. Tak ‘larat’ la”. - . “Ambe tak kisah kalau belajar dari kulit sampai ke kulit tapi muqarrar biarlah seadanya”. Senyum sendiri bila teringat.

Pun begitu, fatrah ini yang mengekang kehendak yang bermacam-macam – kerana terpaksa lebihkan banyak masa dengan kitab-kitab kuliah, menyenangkan bagi sebilangan pelajar. Hal ini demikian kerana dengannya boleh memantapkan lagi penguasaan mereka terhadap apa yang telah dipelajari. Saban masa berulit dengan kitab-kitab, melumati muqarrar baris demi baris. Sudah tentu menajamkan lagi kefahaman. Mereka ini adalah golongan yang benar-benar dahaga dan cintakan ilmu. Belajar dengan seikhlas niat untuk mengolah gaya hidup masyarakat yang kian jauh dari nilai ketimuran juga ajaran Islam. Mereka juga bijak mengurus waktu dan sesekali tidak mengenepikan persatuan.

Fatrah ini juga, yang penuh dengan dugaan – kerana timbul bermacam keinginan. Selera makan yang luas terbuka antaranya. Tidak dimaksudkan di sini bertambah makan sampai berpinggan-pinggan. Cuma keinginan untuk makan itu dan ini berasak-asak di ruang fikir. Kadang-kadang diturut keinginan itu walau tak sepenuhnya. Tentunya ke dapur acap lebih dari biasa. Dan semestinya mencuri malah mengganggu masa study. Padahal sebelumnya tidak pernah ‘mengada-ngada’.

Sekitar waktu ini juga hati mudah tercuit dengan apa yang dikata. Padahal teman sekadar bercanda. Dalam situasi yang lain, marah mudah membahang. Tiba-tiba. Dan bermacam lagi ujian yang menduga rasa.

Kebanyakan warga azhari terkena ‘virus’ ini. Kerana itu masing-masing perlu ada kekuatan. Dalaman mahupun luaran (teringat pesanan ustaz dan ustazah sebelum ke sini, perlu kekuatan kalau mahu belajar di Mesir). Dan saya percaya ramai yang berjaya menepisnya. Perlu diketahui (kalau anda orang luar) situasi ini bukan kehendak jauh sekali ciptaan kami warga azhari. Jangan anda salah faham.

• Fatrah ini juga mencetus keinginan sebilangan ikhwah yang mahukan sayap kiri di sisi. Asbabnya? Saya tak cerat. Sahabat ikhwah jangan melenting ya. Saya bukan main ‘tembak’ tapi hasil kajian dan ……….?

Read More......

Dua tahun lebih setelah menunggu

Suatu pagi setelah sampai ke rumah, selepas diskas manahij muhaddithin, telefon bimbit berlagu minta diangkat. Dari Kak Hanim. Katanya namaku sudah muqayyad di jawazat. Sedikit terperanjat. Separuh tak percaya (mungkin kerana putus asa hampir-hampir tiba). Berkali-kali Kak Hanim kutanya. Betulkah namaku. Takut-takut tersilap orang. Setelah berkali dia mengiakan, langkah segera kuatur ke sana. Niat asal ke kuliah kubatalkan dengan tak rela ( boleh percaya ka ni?). Kuliah wajib. Urusan visa? Pada undang-undang manusia bukan sunat. Justeru antara dua terpaksa kukorbankan.

Hidup terasa ‘lebih cerah’ setelah berpuluh bulan menanti nama ‘naik’ di jawazat. Apa tidaknya, masuk bulan ini (mac 09), langkah kakiku ke sana ke mari, sekitar Mansurah – Kaherah bertemankan pas perjalanan yang sudah dua tahun lebih tamat riwayat. Bukan tak berusaha merajinkan diri ke jawazat mahupun amnu daulah, malah jemu sudah dengan karenah amu yang bertugas. Kalau anugerah pengunjung paling kerap diwujudkan, tentu dapatku rangkul.

Tak perlu dihurai feel arab di sini melayan wafidat (walaupun tak semua). Bukroh, gai thani, gai yaumul isnin, yaumul khamis, usbu’ gai dan bermacam lagi kalimah yang terkadang menujah sabar dituturkan. Pernah sekali diminta tunggu. Kata amu, dia ingin selesaikan urusan orang lain dahulu. Akur pada cakapnya. Lama menanti, hasilnya gai ba’din. Ya Rabb, langsung tak berbaloi masa yang berlalu (moga ada hikmahnya – amin ya Rabb). Masakan tidak, kutetap di situ sehinggalah lampu ditutup. Hanya dua yang ditinggal menyala. Itupun kerana lantai sedang disapu dan masih ada petugas yang sedang berkemas-kemas. Ada juga yang bersiap mahu pulang. Allahu Rabbi…

Bersambung… (skit ja lagi pun). Mahu beransur ke kamar dulu. Esok pagi tusyen falsafah.

Read More......

Lagi ucapan terima kasih

Petang itu santai-santai sahaja di atas perbaringan selepas pulang dari kuliah. Rajin lebih sedikit dari mahu, atau sepatutnya; belek kitab kuliah dan baca. Sebaliknya hasil karya Ramlee Awang Mursyid menjadi santapan mata. Sambung bacaan yang terbantut sebulan yang lepas (sebelum ke Kaherah). Bukan sengaja melayan rajin yang sedikit itu tapi merehatkan jasmani sebenarnya.

Tadi pulang dari kuliah, singgah sebentar di Aswaq Yasin, cari barang-barang keperluan. Juga makanan untuk si kecil kawan yang bertandang dan bermalam di rumah. Tapi yang diingini tiada di situ. Hampess. Nama ja ‘aswaq’. Kemudian singgah di kedai-kedai yang tak kurang deretnya di sepanjang laluan ke rumah sewa. Juga tiada. Balik rumah.

Dahaga. Terkesan dengan cuaca luar yang sedikit hangat. Ke dapur dinginkan jasad dengan air mati (air masak). Termenung. Hati masih belum puas. Tak dapat apa yang dihajati. Keluar semula dari rumah. Hala langkah ke Syari’ Madhrob. Puas bertanya di kedai-kedai yang ada di sekitar. Tapi masih hampa. Patah balik ke rumah. Sempat singgah kembali di kedai yang berdekatan. Terpaksa juga beli sedikit dari yang dihajati (‘syibih-syibih’ ja pun) walau ‘tak berkenan’. Lebih baik dari langsung tiada. Mmm, dahaga lagi. Tak tahu kenapa hari tu ‘saluran air’ cepat minta diisi. Mungkin cuaca yang dah tak dingin jadi asbabnya, berbanding hari-hari yang lepas. Tak berapa menentu.

Opsss, rasa macam dah melalut ja. Sebenarnya bukan nak cerita pasal beli barang-barang. Tapi di sini nak rakamkan ucapan terima kasih untuk ahli baitku ( Bait Fawwaz) selepas ucapan secara lisan sebelumnya. Pasal beli barang-barang tu sebagai penjelas sahaja. Kenapa masih jamah novel. Sedang imtihan kian mendekat. Berbalik kepada tujuan utama entri ini ditulis, begini alkisahnya...

Setelah mata hampir layu ‘mematai’ Hijab Sang Pencinta (karangan Ramlee Awang Mursyid) lekas-lekas kubangkit. Tak mahu biarkan lena singgah. Capai alat tulis dan kertas. Tumpahkan idea yang menerawang di ruang minda. Tengah khusyuk ‘conteng-conteng’, tiba-tiba tertangkap bunyi ‘kpuk’ (tak pandai nak tulis bunyi yang tepat) berkali-kali dari dapur. Tanpa fikir panjang terus kutebak. Pasti ada yang rajin buat kek. Bagus juga (senyum).

Berhenti menulis, sambil-sambil betulkan urat. Dapur kutuju. Rupanya ada yang sedang memasak. Si ‘mangsa’ usikan kami adik beradik di Fawwaz. Siapa lagi kalau bukan kak .........? Kemudian datang kak cik. Senyum-senyum.

“Ilah, jangan masuk bilik kak cik tau.” Sengihnya makin lebar. “Kenapa, akak tengah web cam ka?” Tanyaku.
“Dak aih. Adala . jangan masuk tau.” Dia mengulang larang. Hairan bertambah dibuatnya. Yalah…tak pernah-pernah dilarang masuk.
“Kenapa tak boleh pulak?” Tanyaku lagi. “Adala. Janganlah masuk.” Sekali lagi kak cik tegaskan. Dia cuba halang bila kuacah mahu ke biliknya. Nasib baik la bilik dia dengan dapur tak dekat (alhamdulillah rumah kami besar). Minda segera berfikir. Teringat kembali bunyi ‘kpuk’ yang didengari sebelumnya. Adakah bunyi itu berkaitan dengan apa yang kuteka? Dan kini berada di biliknya? Pantas kuterbayang sesuatu.

Tiba waktu makan malam. Laju ke dapur (perut dah berbunyi) Semua yang terhidang dah terbuka kecuali satu ja. Hatiku berat mengatakan itu adalah …. Yaaahh, betul tekaanku. . Sedap walau sedikit hangit di bawahnya. He he (bukan nak mengata – tapi suka yang hangit camtu). Aduhaiiiiiiiii. Terharunya...

‘Maaflah,takde apa-apa yang nak diberi. Kek ni ja. Lambat pulak tu”
“Ya Allah korang ni. Susah-susah ja. Dapat ucapan pun dah cukup. Ni yang makin sayang ni. He he”
“Maaflah, kek biasa-biasa ja”
“Apa yang biasanya. Ni dah kira ok tau. Sedap! Terima kasih semua. Tak tau nak kata pa dah. Terima kasih lagi dan lagi”

“Sat-sat. kita nak jadi orang pertama yang suapkan.”
“Eh, ……… dulu.”
“Mana aci. ……… nak jadi orang pertama jugak.”
“Ha. Nganga. ……… suapkan pulak.”

Alhamdulillah, rezeki Tuhan melalui ingatan teman-teman. Untuk kak cik, kak Hanim, long dan Shima, terima kasih banyak-banyak. Moga-moga keranaNya kasih kita bersemi dan diberkati. Amin ya Rabb.

Read More......

Mabruk untuk si bongsu

“Kak Dilah, result STPM kita okey. Insya Allah boleh masuk ‘U’.” Sms bernada gembira daripada si bongsu kuterima lewat beberapa minggu sebelum tiba ‘besday’. Pantas kuterbayang manis wajahnya yang pasti bertambah seri. Menari-nari di ruang pandang. Bercampur rindu yang belum terlerai.

Alhamdulillah, kepada yang berhak kupanjatkan syukur. Berkat pertolongan dan keizinanNya serta kesungguhan dan tekunnya si bongsu, kejayaan teraih sudah. Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Kuanggap khabar gembira tersebut hadiah untukku di hari lahir (ulangtahun) walaupun si bongsu bukan yang ‘tercemerlang’. Hadiah untuknya belumku hadirkan di ruang fikir. Detik itu hanya senyum – senang hati yang menghias reaksiku.

Jauh mengelamun. Tiba-tiba terkenang si kedua bongsu. Peperiksaan terakhirnya juga STPM. Namun kualiti antara keduanya (si bongsu – si kedua bongsu) ku tak cerat. Mungkin lebih rendah berbanding si bongsu. Kerana rezekinya untuk ke universiti belum ada. Tetapi tidaklah mencapai tahap yang kurang memuaskan. Seluruh ‘U’ awam telah diutus warkah lamaran. Namun hanya hampa yang diterima. Sebaliknya surat pinangan dari ‘U’ swasta hadir bagai tak putus. Pening rasanya. Kesemua pinangan itu diabaikan (dengan berat hati). Peluang yang tiba bukan sengaja ditolak tapi ringgit yang kurang – mengekang mahu.

Suatu petang ketika santai berdua dengan si kedua bongsu. “Setakat ni tiada lagi ‘U’ awam yang sudi terima aku. Yang ada hanya dari ‘U’ swasta.” Mendatar suaranya. Kami beraku – engkau sahaja kerana karib. Hanya dua tahun berbeza usia.

“Sebenarnya aku hairan. Kawan aku yang pointernya lebih rendah diterima masuk pulak. Mudah ja. Aku kenapa tidak?” Luahnya. Mujur tak bernada kecewa.
“Tak mengapalah, tahun depan cuba lagi. Insya Allah ada rezeki ke sana (u)” kucuba pujuk. Dia hanya mengiakan. Alhamdulillah, dia redha menerima.

Dalam enak berkongsi yang terbuku di hati, berubah cerah wajahnya. “Mujur juga aku tak dapat masuk ‘U’. Kalau tak, mesti pusing kepala mak dengan cek, kan?” Terpanggung kepalaku dengan cakapnya. “Mungkin Allah nak bagi peluang mengembara di lautan ilmu untuk kau dulu.” Ujarnya lagi, menambah bingungku. Bukankah mengembirakan keluarga jika kami panjangkan langkah ke menara gading sekaligus?

Fikir punya fikir, baruku faham maksudnya. Kebetulan di sekitar waktu yang sama, atau hampir, Allah izikanku ke Perlembahan nil. Benar katanya. Mak dan cek pasti dirundung resah. Dari mana mahu ‘nilai’ bagi sesuatu keperluan ingin dicari jika kami saling berlepas ke medan ilmu di sekitar waktu yang tak jauh? Dari simpanan? Oh, duit yang ada bukan berkepuk. Sekadar sahaja.

Akhirnya ke Kelantan si kedua bongsu mencuba nasib. Menumpah bakti demi mencari rezeki. Sambil-sambil menabung. Satu yang kupuji, walaupun telah memegang dan berasa duit sendiri, tetap tak luntur semangat dan citanya untuk mengaut ilmu. Malah kian berkobar. “Doakan rezekiku murah. Dapat sambung belajar lagi. Aku nak sambung sangat-sangat ni.” Inilah antara bualan yang sering diulang kepadaku di talian. Insya-Allah, sentiasa terlafaz untuk semua doa dariku.

Berbalik kepada si bongsu, sedikit pesan dari kakak (dari banyak-banyak pesan yang akanku perdengarkan. Tunggu!). Hiasai peribadi dengan sifat mahmudah. Persiapkan dirimu dengan ‘pendinding’ dalaman juga luaran. Akan kau hadapi kejutan budaya. Biar sehebat mana ujian dan cubaan yang bakal ditempuh, Tuhan jangan sesekali kau kalih dari ingatan. Iman yang senipis bawang – jangan biar mudah ditebak. Kehidupan di kampus yang tak dinafi rendah nilai sosialnya mudah-mudahan tidak menggegarkan ampuh watak muslimah idaman. Lebih-lebih lagi kau anak jati kampung. Nilai ‘pembungkus’ auratmu moga-moga tak tercalar. Digores aneka macam fesyen yang lari jauh dari landas syariat. Allahumma yaa muqollibalquluub, thabbit quluubana ‘ala diinika, wa yaa musorrifalquluub, sorrif quluubana ‘ala to’atika. Amiin ya Rabbal ‘alamin..

Read More......