Imtihan Dalam Imtihan

Benar kata sesetengah orang. Mesir penuh dengan segala macam ujian. Terkadang ada yang melunturkan hamasah untuk terus bermukim dalam beberapa tempoh, sepanjang pengajian. Namun dapat bertahan berkat doa yang dipohon, selain mengenang manisnya hasil di sebalik kepayahan.

Ada yang mentafsirkan perkataan Mesir (dalam bahasa arab) sebegini ; mim: musibah @ mehnah. Sod: sabar. Ro: redha. Tanpa penerangan yang panjang kita pasti akan mengiakan. Jika sudah ke sini.

Paling menjerut rasa, di musim peperiksaan. Ujian di musim ini pelbagai. Kesihatan terjejas tiba-tiba antaranya. Namun jamu sahaja tubuh dengan ubatan, insya Allah sembuh dengan izin-Nya. Ini ujian yang memerlukan ubatan ciptaan manusia. Yang paling dirisaukan, adalah ‘kesihatan’ rohani. Ia berpunca daripada gangguan makhluk yang tidak zahir di pandangan. Bertahap gangguannya (mengikut orang). Ada yang biasa; boleh dilawan oleh pesakit. Ada yang lebih dari biasa; warasnya sirna. Ada yang langsung tidak sedarkan diri berjam-jam. Ada yang 50-50. Namun yang paling membimbangkan adalah yang berkaitan dengan akidah. Diganggu gugat. Makhluk terlaknat itu kadang-kadang membisikkan keraguan terhadap agama islam ke dalam hati yang berkenaan dan bermacam lagi.

Kadang-kadang jemu berfikir. Kenapa hebat terjadi di musim ini berbanding hari-hari sebelum atau selepasnya. Mungkin kerana stress, terlalu lemah semangat dan lain-lain.

Baru-baru ini ketika menemani kawan ‘dipulihkan’ seorang ustaz, baru terungkai segala persoalan yang bermain di fikiran. Rupa-rupanya puak kristian sengaja melepaskan FRU mereka untuk ‘menyakat emosi’ akidah orang islam. Dan sasaran utamanya adalah pelajar universiti al-Azhar, lebih-lebih lagi sewaktu bergelut dengan isti’dad untuk bertempur di medan penentu masa depan. Peperiksaan.

Namun tidak dinafikan. Penyebabnya kadang-kadang tercetus dari tingkah seharian umat islam itu sendiri. Lalai dari mengingatiNya dengan maksiat yang sukar dihindar. Persekitaran tempat tinggal yang kurang bersih. Al-Quran yang yang jarang dilagu, difahami dan dihayati. Pun begitu, ada juga yang baik pekertinya turut diganggu (bukan semua yang diganggu berakhlak kurang baik). Apa pun, semuanya ujian. Ada hikmahnya.

Air mata bergenang tiba-tiba ketika menulis entri ini. Berperihal gangguan, ingatan disapa rindu dan pilu pada seseorang. ‘Terkena’ selepas pulang dari jaulah ke sinai, (mereka telah ke satu tempat yang tidak pernah dibawa? Dibenarkan? oleh pihak PMRAM) anjuran JPMK, bercampur tekanan (akibat masalah peribadi) yang tidak tertahan, warasnya menghilang. Segala-galanya perlu diuruskan.

Gangguan dalamannya, alhamdulillah, berjaya dibantutkan berkat ayat-ayat suci yang dibacakan. Namun tetap menyedihkan kerana ‘sedarnya’ tak dapat dipulihkan pada waktu itu. Jalan terakhir terpaksa dihantar pulang. Bukan tidak sudi berkorban masa untuk berjaga sampai dinihari kerananya. Tapi itu yang terbaik kerana masing-masing punya tanggung jawab yang perlu dilunaskan. Lagi pula imtihan hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi. Berita terakhir mengenainya, terpaksa beradu di hospital yang merawat ‘masalah jiwa’. Wallahu Ta’ala a’la wa a’lam.

0 comments:

Post a Comment