Ulangtahun kelahiran kali ini

Berganjak lagi usiaku lewat 22 Mac 2009 yang lepas. Pelbagai rasa bertamu. Gembira, syukur, sedih dan bermacam lagi. Bercampur gaul di acuan rasa.

GEMBIRA. Kerana teman-teman di sekeliling tidak pernah lupa mengirim ucap selamat. Di malam @ hari ulangtahun kelahiranku. Ada juga yang datang berjumpa secara mubasyarah. Teringat tarikh yang sama waktu ‘muda-muda dulu’ ( la ni pun masih muda lagi ). Jika ahli bait tidur lewat di malam 22 hb Mac, mereka dengan ‘tidak berhati perut’ akan bergegas mendekati kamarku. Diusirnya lena yang mendakap sekujur jasadku., semata-mata untuk mengucapkan “Selamat hari lahir….…”. Yang kelakar dan terharu, mereka kadang-kadang saling berlumba. Masing-masing ingin mendahului yang lain. Ingin menjadi orang pertama berjabat tangan . Kadang-kadang ada yang bersimpuh di birai tilam, bila jarum jam hampir menjamah angka 12 malam. Oh ya, jangan tersalah faham. Gembiraku bukan semata kerana begitu diperlaku. Tapi ( lebih lagi ) kerana punya teman yang baik hati, mengerti, sering berkongsi senang dan bermacam lagi.

Di saat terganggu kesihatan, ada yang bergegas dengan dawa’. Dari farmasi ataupun penawar saranan sunnah ( madu ) juga kalam Ilahi ( untuk diamalkan ). Tak kurang ada yang berkongsi petua. Tentunya yang tradisional.

Kala emosi kacau bilau- memberat dengan musykilah yang bertimpa, ada yang menyabar dan menenangkan.

Waktu bank kering (sebab malu nak beritahu mak + tak sampai hati ) ada yang marah-marah bila dapat tahu ( padahal sedayanya kusorokkan-macamana boleh tahu? ). Katanya mengapa tak cakap, bukan dia tak boleh tolong. Apa guna dirinya sebagai kawan? Sampai hati buat dia seolah tiada berdekatan. ( maaf, kemarau ini masih dapat kutahan dan biarlah berseorangan berasa ).

Alhamdulillah, teramat syukur. Masih ramai yang sudi menumpahkan prihatin, walhal diri ini mungkin banyak menyakitkan hati, mengguriskan perasaan. Dalam sedar atau sebaliknya. Namun tidak kunafi, dalam ramai yang baik hati, ada ‘seketul dua’ yang lain feelnya. Maksudnya? Rasanya semua faham. Bukankah ada lawan bagi setiap sesuatu?

Yang baik lawannya tentulah tidak. Bukan tidak baik secara qot’ie, cuma mungkin sedikit ‘nakal’. Bila bergelut payah dan berkehendak sesuatu, dirikulah segalanya. Bila senang menyapa, diriku dilupa. Maaf, bukan nak mengata, jauh sekali untuk mengenang salah orang ( mungkin depa tak sedar-cuba husnu al-zhon ) dan mengusir ingatan terhadap kebaikan yang diterima. Tapi inilah realitinya. Namun tak kusimpan pahit rasa yang terbit dari tingkah teman tersebut. Laa yanfa’ untuk dikenang. Pun begitu, Alhamdulillah juga. Sekurang-kurangnya kukenal mana yang benar-benar memaknakan kalimah ukhuwah fillah.

SYUKUR. Kerana usia masih Allah panjangkan. Masih berpeluang mengecap ni’mat-nimatNya yang tak terhitung. Ni’mat Iman dan Islam terutamanya.

Usia yang Allah lanjutkan adalah peluang untuk menambah amal kebaikan dan perbaiki segala yang terkurang. Bertaubat atas segala dosa yang bertimbun dan mencemarkan rohani. Yang menghitamkan sekeping hati.

Alhamdulillah, Tuhan masih lorongkan waktu untukku muhasabah segala tutur dan tingkah yang telah terakam di laluan hayat. Menilai kembali kelayakan diri untuk digelar hambaNya.

Detik-detik yang sedang dan akan datang mudah-mudahan memberi peluang untukku tebus segala salah dan silap terhadap kedua ibu bapa. Juga meluaskan ruang untukku mencurah hanya yang baik-baik sahaja untuk mereka berdua yang teramat kukasih. Hanya mereka. Tiada galang ganti. Oh Tuhan, sungguh tak sabar kumenunggu saat berangkat pulang ke tanah air.

SEDIH. Bila dihitung amal yang tak seberapa jika dibandingkan usia. Apa yang telah kuperbuat saban hari dalam tempoh masa yang telah jauh dan baru ditinggalkan? Usia jika dicongak, patutnya sudah miliki kuantiti ibadah yang memberat di timbangan amal. Kualiti lebih-lebih lagi. Hadam segala hukum hakam. Namun masih ‘kabur’ diri ini dengan banyak perkara yang sepatut dan sewajibnya kutahu. Selaku dai’e. Lebih-lebih lagi ‘ngaji’ di al-Azhar.

Segala macam rasa yang kutelan itu akan cubaku kekali separuhnya. Dan cuba ubahi yang selebihnya ( sedih ). Rasa sedih itu sedayanya akanku terbalikkan. Biar jadi sebaliknya. Oh, bukanku bermaksud boleh dan akan berbangga dengan amal yang ditunaikan. Sebab tidak patut dan amat tidak patut bagi seorang hamba mudah berasa puas dengan amal yang dibuat. Walaupun bertimbun. Cuma ingin menerbalikkan rasa sedih itu dengan perbanyakkan lagi ibadah sunat dan mengekali kesempurnaan mana yang wajib. Malah kualitinya cuba ditingkatkan.

Tiba-tiba ‘kuteringat’ kata-kata Ibnu Mas’ud . “Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah tetapi amalanku tidak. Oh, insaf .

Ya Ghafur ya Rahim. Ampuni salahku dan rahmati hidupku. Tuntuni daku ke jalanMu yang lurus. Amin ya Rabb.


0 comments:

Post a Comment