Hari-hari selepas 12 Rabiul Awal

Menapak ke cyber café KPT. Ambil peluang layari internet., setelah terisi masa sebelumnya dengan memanaskan separuh dari juzuk terakhir (muqarrar tahun empat). Sambil-sambil peristiwa tanah air dan antarabangsa kuintai, beberapa blog azhari-azhariah kujengah. Baris demi baris diteliti, cuba mengerti isi hati penulis. Lawak - dakwah - pengajaran - mau’izah - derita Palestin dan lain-lain coretan mewarnai blog. Mengikut selera empunya.

Dalam ghairah berkunjung, sayu tiba-tiba mengusik hati. Tidak sedikit yang membicarakan perihal khairul basyar , saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam sempena bulan kelahiran Baginda. Bermacam cerita yang dinukilkan. Hampir kesemuanya terarah kepada kecintaan terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam. Hanya terbeza jalan cerita.

Termenung seketika. Cuba analisa kalimah cinta (ku) buat Baginda yang terlafaz di hujung lidah. Ringan ditutur. Setakat mana sunnahnya yang kuturut, bukti kasih ada di hati.

Ya Rabb, langsung tak terbias pengakuanku di tiap arah. Baik pada tutur juga tingkah. Sunnahnya masih banyak yang tak terbuat, apatah lagi untuk menyalin walau seperca dari peribadi Baginda sallallahu alaihi wasallam. Terpenuh hari-hari yang berlalu dengan catatan kehidupan yang banyak alpa dari jaga.

Dalam satu ayat dari al-Quran, Allah ada menyebut bahawa Dia dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Nabi. Nah, pencipta kita yang Maha Agung berselawat sentiasa. Begitu juga dengan para malaikat yang sememangnya tiada dosa. Diri ini yang serba kekurangan lagi kelam dengan noda terbuat selalu pun tidak. Ilahi ya Rabb, sungguh, umat apakah diri ini?

Menutur selawat tidak payah. Tenaga pun tak tergugah. Tapi sering diri ini terlupa memancarkan tanda ingat dan kasih terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam. Padahal melafazkannya tidak membelit lidah. Bicara seharian rasanya tidak banyak yang bernas. Hanya tika jumaat mengambil giliran, barulah ingatan bagai diterjah. Penghulu kepada segala hari ini sedikit sebanyak mengingat dan menyedarkan ingatan yang tandus ini. Lalu selawat pun ditutur. Lantun dari bibir, ulang dan perbanyakkan.

Fikir lagi. Mujur juga terangkum ucap selawat dalam ibadah lima waktu. Tidak sah tanpanya. Maknanya wajib disebut. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya tak khali langsung sang bibir meluahkannya. Begini jika 'lampu hijau'. Di ‘waktu terlarang’ bagaimana? Terkurang dari menyebut sudah pastinya.

Oh, malu sungguh pada alam dan yang terhuni di atasnya. Binatang di darat, di laut malah di dalam tanah yang tidak berakal pun tidak kering ingatan mereka dalam melagukan alunan tasbih buat sang Pencipta. Juga ucap kasih untuk Rasul tercinta. Selawat - selawat - selawat.

Namun kadang-kadang bukan sengaja menyisih ingatan buat junjungan. Sungguh! Apatah lagi ganjaran yang akan dikurnia sangat didamba. Antaranya diperkenankan syafaat di hari pembalasan kelak. Bila disebut teman baru teringat. Rasa bersalah menyerbu. Pantas. Lalu tekad kupasang lagi. Entah yang ke berapa. Ingin melagukan selawat tiap saat. Sebelum lena dan setelah jaga. Dan hari-hari yang dilalui akan tenggelam dalam asyik mahsyuk berselawat.

0 comments:

Post a Comment